Menu Box

Daun Kiri


Daun Kanan


Tuesday 5 April 2011

Isu Botol Susu

Sejak kebelakangan ini kita sering mendengar isu botol susu di pasaran tidak selamat digunakan. Ini kerana bahan kimia BPA yang terkandung dalam bahan pembuatan botol susu yang dianggap tidak selamat untuk kesihatan dan dikatakan boleh mengganggu hormon dan kemungkinan menyebabkan kanser, gangguan fungsi imun dan sebagainya (Environment California melalui Burgess,2010).

BPA atau Bisphenol-A merupakan bahan kimia di dalam pembuatan plastik pelbagai iaitu kategori 7. Kategori 7 di sini meliputi polycarbonate yang digunakan dalam botol sukan, plastik minuman sedut lutsinar, peralatan dapur lutsinar dan kadang-kadang digunakan sebagai lapisan bahagian dalam dalam tin makanan. Plastik kategori 7 juga tidak boleh dikitarsemula, menyebabkan ia tidak digalakkan untuk tujuan menjaga alam sekitar.

Isu BPA bermula pada sekitar bulan Januari 2010 apabila FDA (Food and Drug Administration) di Amerika membuat keputusan mengurangkan pendedahan manusia terhadap BPA dengan menyokong tindakan industri dalam menghentikan pengeluaran botol susu yang mengandungi BPA (http://www.fda.gov/NewsEvents/PublicHealthFocus/ucm197739.htm).

Tindakan ini seolah-olah mencabar kelulusan penggunaan botol susu kategori 7 yang telah dikeluarkan oleh EFSA (European Food Safety Association) pada tahun 2008. Sehubungan dengan itu, pada tahun 2010, EFSA telah membuat kajian terhadap BPA. Ini dibuat untuk mengambil keputusan menarik atau mengekalkan kelulusan yang dikeluarkan pada tahun 2008. Seterusnya, pada 30 September 2010, EFSA telah mengeluarkan keputusan melalui sidang akhbar. Antara lain kenyataan EFSA ialah pihak mereka tidak mendapat sebarang bukti baru yang membolehkan mereka menarik semula kelulusan yang telah dikeluarkan pada tahun 2008 (http://www.efsa.europa.eu/en/press/news/cef100930.htm) 


Dengan kata lain, botol susu yang ada di pasaran pada masa kini masih selamat digunakan. Bagaimanapun, timbul soalan dalam kajian EFSA kerana ujian yang dijalankan hanya ke atas haiwan dan bukan ke atas manusia. Hal ini disebabkan batasan kajian ke atas ibu hamil dan bayi. Menurut EFSA lagi, kajian ke atas haiwan menunjukkan BPA tidak menyebabkan sebarang perubahan ke atas aktiviti motor otak mahupun tisu otak. Secara am, belum banyak kajian kesan BPA ke atas kesihatan manusia dilakukan.
Bekas minuman yang mengandungi BPA
Sebagai pengguna, keadaan ini perlu dipertimbangkan. Jika anda ragu-ragu, belilah botol susu yang tidak mengandungi BPA. Walaupun agak mahal sedikit, ia berbaloi untuk kesihatan anak kita. Namun jangan terkejut kerana kita sentiasa terdedah dengan BPA dalam peralatan harian (selain botol susu) yang kita gunakan tanpa kita sedar. 



Noliah
5/4/2011

Friday 11 March 2011

HAK MENDAPAT KESELESAAN DAN KESELAMATAN

Para pemilik rumah di taman-taman perumahan, yang membeli rumah, yang membayar cukai pintu dan lain-lain perkhidmatan, mempunyai hak untuk mendapat keselesaan dan keselamatan.


(Gambar banjir di B3, Tmn. T&G III, Kota Marudu. 11.3.2011)

Banjir kilat mungkin disebabkan oleh beberapa perkara misalnya sistem perparitan yang lemah, tak ikut spesefikasi, penyelenggaraan yang jarang atau tidak dilakukan, dan sebagainya. Ini belum termasuk taman-taman perumahan yang tidak mempunyai lampu jalan. Belum termasuk sistem kumbahan yang tersumbat dan sebagainya. Ini perlu disedari oleh setiap pengguna. Hak pengguna untuk bersuara. Hak pengguna untuk diselesaikan masalah mereka.

Tuesday 8 March 2011

HALAL OH HALAL...

BENAR HALAL ATAU LOGONYA SAJA?
-Androd Sadian

Sejauhmana kita sebagai pengguna yakin dengan status HALAL sesuatu produk makanan di pasaran kita? Siapakah yang sepatutnya melekatkan label itu? Apakah prosedur mendapatkan logo halal itu sudah cukup memadai atau perlu penambahbaikan agar masyarakat pengguna benar-benar yakin? SPM berpendapat bahawa pemeriksaan atau pemantauan lebih kerap perlu dilakukan terhadap premis-premis yang telah mendapat status logo halal, dan membuat penyiasatan tanpa perlu menunggu aduan terhadap premis-premis pengeluaran yang diragukan status halalnya.
Tinjauan pendapat di kalangan para pengguna di daerah Kota Marudu mendapati segelintir pengguna Muslim masih merasa ragu-ragu dengan status halal. "Saya merancang untuk menternak ayam, menyembelih dan memprosesnya sendiri," ujar seorang rakan. Ini menunjukkan beliau meragui status halal produk makanan di pasaran masa kini.

Sunday 6 March 2011

BERSAMA MENDIDIK PENGGUNA

KUASA FACEBOOK!
Masyarakat pengguna Facebook dialu-alukan untuk sama-sama menyelitkan unsur-unsur kepenggunaan dalam status mereka. Laman sosial facebook telah terbukti mampu mewujudkan satu gelora kesedaran dalam berbagai perkara dan ini seharusnya diimplementasikan dalam hal-hal pendidikan kepenggunaan.
SPM berharap kempen ini disambut baik oleh seluruh rakan-rakan facebook, bagaimanapun SPM menasihatkan agar status hendaklah dibuat secara berhemah dan bukannya secara semborono. Segala tulisan hendaklah berfakta dan dinyatakan sumbernya jika boleh.

SUDUT PANDANG...

AWASI ANAK KITA...
Penggunaan Internet semakin meluas dalam masyarakat. Hampir setiap rumah di kawasan bandar dan pekan sudah memiliki akses internet. Anak-anak semakin cenderung menjadi pengguna tetap internet untuk berbagai tujuan. Ibu-bapa diingatkan agar sentiasa memantau apa yang dilayari oleh anak-anak. Ibu-bapa disarankan memasang sistem keselamatan untuk mengawal anak-anak daripada melayari laman web lucah dan seumpamanya. Periksa juga e-mail mereka kerana sejak kebelakangan ini ada berbagai kaedah merosakkan dan cubaan menipu melalui e-mail. Permainan games online juga dikatakan boleh membahayakan anak-anak kerana sesetengah permainan itu "diprogramkan" dengan "serangan mental dan spritual", bagaimanapun perkara ini belum dibuktikan secara rasmi. Pendek kata semua ibu-bapa harus prihatin. Kecanggihan kekadang boleh menyebabkan insan kecundang...

JADILAH PENGGUNA CELIK

Terdapat banyak majalah dan laman web yang menyediakan berbagai informasi berkaitan kepenggunaan.



Antara yang paling menonjol ialah Utusan Pengguna (UP)yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (Lihat gambar). UP kini tersebar luas di sekolah-sekolah untuk menjadikan generasi guru dan pelajar terdedah kepada informasi kepenggunaan.

Pihak SPM juga telah memudahkan pihak pembaca mengakses maklumat dengan hanya "klik" pada portal/web yang kami link. Bersamalah kita menjadi pengguna celik maklumat kearah pengguna bijak.